Lembaran hari esok masih dalam pertanyaan. Namun kisah hari ini tetap perlu diteruskan. Andaikan kehidupan seperti sebuah peta, maka kitalah yang menentukan hala tujunya. Merancang setiap perjalanan hidup serta menentukan arah persimpangan yang ingin dituju. Kita diberi pilihan dan Dia yang menentukan.
Melangkah dalam sebuah kehidupan, pasti pernah terdetik satu titik pertanyaan tentang sebuah perubahan. Menyelusuri aturan Tuhan, mungkin kita pernah bertanya pada hati yang tersemat di dalam diri, “sampai bila aku harus begini?”. Pasti, soalan itu kadang-kadang hanya membungkam dalam diri. Namun selagi ia tidak diluahkan, selagi itu persoalan itu akan terus bersarang. Dan mungkin juga akan terus hilang hingga pengakhiran episod kehidupan.
Justeru, carilah solusi kepada persoalan dalam diri. Jangan dibiarkan soalan terus bertanda tanya tanpa ada sebarang usaha penambahbaikan. Saat hati bertanya, akal menanti jawapan, dan nafsu mencari alasan,himpunkan satu kekuatan iman dan keyakinan dengan janji-janji-Nya. Duhai jiwa-jiwa yang sedang bergelora, jangan ditunggu jawapan dari Illahi. Bahkan kita yang harus mencari. Analogi seorang musafir yang tersesat dalam kembara perjalanan, takkan bertemu penyelesaian jika dia tidak mencari.
Firman Allah, “wahai orang-orang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepada-Nya dan berjuanglah dijalanNya agar kamu beruntung.
[QS Al-Maidah, 5:35]
Begitulah caranya. Mendekati Dia, mencintai ilmu-Nya,mencintai segala-galanya tentang Dia,serta mendekati mereka-mereka yang sentiasa dekat dengan-Nya. Agar amal dan akidah kita terbina dan terjaga. Meningkatkan amal sebagai penanda aras kekuatan iman supaya kita lebih hebat menghadapi ujian dan hasutan.
Tidak kira siapa kita, apa jua jurusan kita, kita tetap hamba-Nya. Walau cara kita berbeza, tetapi taqwa yang dicari hanya kepada-Nya. Mendekati Dia adalah kewajipan kita, kerana amal juga adalah aset ibarat duit, takkan terhasil dan terkumpul sendiri melainkan kita berusaha mendapat dan mengumpulnya.
Dan Dia takkan mengubah hidup kita sekiranya kita sendiri tiada keinginan untuk perubahan,tiada berkehendak untuk menjadikan hari esok lebih baik dari hari ini. Justeru itu, sangat penting bagi kita untuk terus bangkit dan tidak layu, walaupun cabaran-cabaran seperti usikan-usikan berunsurkan sindiran , pandangan negatif masyarakat yang mungkin akan menjadi hambatan untuk kita melangkah. Sarana terbaik ialah menanamkan azam, istiqamah dan bersungguh-sungguh untuk melangkah dalam perubahan. Biarpun setapak demi setapak, walaupun terkadang hati sering berbolak balik dengan hasutan syaitan namun asalkan kita masih berupaya melangkahkan kaki secara berterusan, jangan ragu-ragu, teruslah kehadapan. Melangkahlah,dan teruskan melangkah Harusnya ditetapkan niat, kuatkan tekad demi sebuah perubahan.
No comments:
Post a Comment